Press Releases

 BANGI – MGTC hari ini telah mengadakan Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama dengan Masjid Hasanah Bangi melalui program Masjid Hijau. Persetujuan dua hala ini menyaksikan masjid ini menjadi perintis kepada program yang bertujuan menerapkan nilai gaya hidup hijau kepada ahli kariah masjid dan surau.

Program ini akan menyaksikan Masjid Hasanah akan menerima manfaat yang menjurus kepada penjimatan dari segi tenaga elektrik dan air melalui penekanan kepada pengurusan masjid bagi membina sebuah persekitaran yang dinamik. Secara tidak langsung, pihak pengurusan masjid akan menikmati pengurangan kos dengan pengurusan yang lebih efisyen dan akhirnya akan menguntungkan semua pihak.

MGTC juga telah menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000.00 kepada Masjid Hasanah melalui inisiatif Wakaf Masjid Hijau sebagai sumber dana permulaan untuk membiayai aktiviti, program penambahbaikan serta pelbagai lagi program di peringkat masjid yang berkaitan dengan usaha pengurangan karbon dapat dilaksanakan.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) yang hadir bagi menyempurnakan program berkata, “Pelepasan karbon hendaklah dibendung dan salah satu usaha ialah dengan membudayakan amalan hjiau. Ia selaras dengan sifat cintakan alam sekitar yang merupakan salah satu nilai murni yang diketengahkan al-Quran. Sebagai pusat penyampaian dakwah masjid dan surau adalah titik permulaan yang baik sebagai penggerak kepada pembudayaan gaya hidup hijau yang merupakan salah satu fokus Kementerian”. 

Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC berkata, “Program ini menyasarkan masjid dan surau di sekitar Bangi buat masa ini. Kami bercadang untuk melanjutkan perluasan skop program ini ke negeri – negeri yang lain dalam masa terdekat ini. Bagi program ini, sebanyak 16 surau di bawah kariah Masjid Hasanah akan turut menerima manfaat daripada program ini. 

Terdahulu, MGTC telah menyampaikan kit Masjid Hijau yang terdiri daripada Plak Pengiktirafan Masjid Hijau, Tong Kitar Semula 3 Warna, Bidal Air, Buku Panduan Masjid Hijau, Kemeja Polo Masjid Hijau bagi AJK Masjid serta Set Pelekat Peringatan Gaya Hidup Hijau. Program diakhiri dengan penyampaian tazkirah oleh Menteri KASA kepada 1,000 jemaah yang hadir bagi menunaikan solat jumaat. 

-TAMAT-

Mengenai kami

Dahulu dikenali sebagai Pusat Tenaga Malaysia (PTM), Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) distruktur semula pada bulan April 2010 dan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hingga tahun 2018. Berperanan sebagai agensi utama negara, MGTC fokus sebagai pemangkin agenda teknologi hijau sejajar dengan aspirasi Dasar Teknologi Hijau Nasional 2009. Untuk tempoh 2018 hingga awal 2020, MGTC berada di bawah kelolaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC). Kini, MGTC berada di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan dikenali Malaysian Green Technology and Climate Change Centre. Sebagai agensi utama untuk KASA, MGTC membangunkan dan melaksanakan program pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan adaptasi perubahan iklim.

Perhubungan Media

Intan Syazwani Isa 
Head of Corporate Communications 
MGTC 
012-7023110
comms@greentechmalaysia.my

Comments are closed.

Close Search Window