In the News

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berharap sensitiviti masyarakat kepada alam sekitar dapat diubah sebagai usaha membendung perubahan iklim yang ketara ketika ini.

KASA melalui beberapa agensi di bawahnya termasuk Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) kini dalam usaha menyediakan alternatif yang lebih mesra hijau bagi memastikan objektif KASA dan MGTC dapat dicapai.

Menurut Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, usaha yang mahu dibawa KASA dan MGTC adalah satu usaha yang sangat besar serta memerlukan sokongan daripada masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan.

Selain itu katanya pihak media juga boleh memainkan peranan yang besar dalam memastikan inisiatif KASA dan MGTC dapat diteruskan demi memastikan masyarakat lebih cakna kepada perubahan alam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengakui bahawa media mempunyai cabaran besar dalam memastikan penerimaan pembaca kepada kesedaran alam sekitar.

Namun, beliau amat berharap supaya usaha membentuk minda yang cintakan alam sekitar dapat ditanamkan melalui media.

“Saya akui bahawa sebagai orang politik, terkadang berita politik lebih besar pengaruhnya dalam masyarakat berbanding apa yang dilakukan untuk menyelamatkan dunia dan alam seluruhnya.

“Oleh kerana itu, sensitiviti masyarakat kita mesti diolah kepada masyarakat yang mempunyai tanggungjawab kepada alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi-Tea Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) bersama media di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis sama, Timbalannya, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Pengerusi MGTC, Profesor Dato’ Ir Dr A Bakar Jaafar, serta Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.

MGTC merupakan agensi utama KASA yang membangunkan dan melaksanakan program pertumbuhan hijau, mitigasi iklim serta adaptasi perubahan iklim.

Sebelum berada di bawah KASA, MGTC merupakan agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan pernah berada dibawah bidang kuasa Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). – HARAKAHDAILY 28/8/2020

Comments are closed.

Close Search Window